Tuesday, 13 May 2014

Guru yang berkesan dalam pengajaran dan pembelajaran.

Assalamualaikum dan salam sejahtera...
Kali ini saya ingin berkongsi  tentang ciri-ciri guru yang berkesan, guru tersebut mungkin guru kegemaran anda, dan mungkin juga tidak. 
Ada antara guru tersebut yang mengenali anda sebagai seorang individu dan mengetahui apa yang anda harapkan.
 Ada juga yang hanya anda kenali berdasarkanmata pelajaran yang diajar sahaja. Sesetengah guru menyebabkan anda meminati apa yang diajar. 
Mungkin ada yang membuatkan anda mempersoalkan “Bagaimanakah orang ini memilih profesion perguruan sebagai kerjayanya?”.


Guru yang ciri-cirinya anda senaraikan di atas, secara langsung dan tidak langsung mempengaruhi pemikiran dan personaliti anda, pembentukan sikap dan ilmu pengetahuan, serta kemahiran yang anda perolehi. Secara tidak langsung, guru ini juga mungkin mengubah tingkah laku anda.Seorang guru yang baik ialah seorang guru yang boleh mengajar dengan berkesan. Adakah keberkesanan pengajaran guru hanya diukur berdasarkan pencapaian akademik pelajar?

Apa pendapat anda tentang pandangan ini?




Ciri-ciri Guru yang Berkesan

(a) Kecekapan Bidang


-Seseorang guru perlu mempunyai pengetahuan dan kemahiran yang mendalam tentang bidangnya. Pengetahuan yang mendalam membantu guru mengajar dengan penuh yakin. Guru yang mengetahui bidangnya dengan mendalam juga dapat mengawal kelas dengan baik kerana beliau dapat menggunakan kecekapan itu untuk merancang dan mengajar dengan baik. Guru juga perlu menyedari bahawa tidak semua yang dipelajari di pusat pengajian, dapat memenuhi keperluan di sekolah. Bagaimanapun, guru yang berkesan akan terus menerima tanggungjawab untuk mempelajari perkara yang beliau kurang mahir.

(b) Kepelbagaian Kaedah Mengajar


-Pembelajaran pelajar akan berlaku dengan baik jika guru mengetahui kaedah yang sesuai dengan isi pelajaran. Kaedah pengajaran untuk mengajar teori adalah berbeza daripada kaedah untuk mengajar kemahiran. Oleh itu, guru perlu berkemahiran dalam pelbagai kaedah mengajar

(c) Penglibatan Pelajar dalam Pengajaran


-Guru yang berkesan sentiasa memikirkan bagaimana hendak melibatkan pelajar dalam pengajarannya. Penglibatan pelajar boleh meningkatkan motivasi pelajar untuk belajar. Penglibatan ini adalah dalam bentuk aktiviti pembelajaran, penyoalan dan lain-lain. Guru yang berkesan akan sentiasa sensitif dan prihatin dengan keperluan pelajar.

(d) Enthusiasm


-Guru yang bersemangat (enthusiastic) akan mempamerkan keyakinan dalam perkara yang hendak diajar. Guru berkenaan menunjukkan kesungguhan semasa mengajar melalui nada suara dan gerak geri yang menunjukkan bahawa perkara yang hendak diajar adalah penting dan menarik. Guru juga kelihatan bertenaga dan gembira semasa mengajar.

(e) Susunan dan Kejelasan


-Guru yang berkesan menyediakan objektif pengajaran dengan jelas. Isi pelajaran dan aktiviti pengajaran disusun mengikut objektif berkenaan. Isi pelajaran juga disampaikan mengikut urutan dan penerangan guru jelas dan boleh difahami oleh pelajar. Ini seterusnya menyumbang kepada pencapaian pelajar.



Sekian sahaja untuk perkongsian pada kali ini, terima kasih

No comments:

Post a Comment