Saturday, 17 May 2014

cadangan kami kepada para guru dan para bakal guru.

Rumusan dan cadangan


Setiap individu yang bergelar pendidik, perlu membina hubungan interpersonal bagi mewujudkan persefahaman dan rasa saling percaya mempercayai dengan pelajar iaitu mengambil kira beberapa aspek positif seperti prihatin, mengambil berat, mesra,ikhlas dan mempunyai sikap menerima. Kebolehan-kebolehan ini juga memerlukan beberapa kemahiran tertentu bagi memastikan hubungan yang diterima berada di tahap situasi yang diterima baik dalam hubungan sosial biasa. Kemahiran interpersonal ini memerlukan masa untuk menyesuaikan diri dengan tugas sebagai seorang guru dan seseorang guru perlu menanamkan sifat ini di hari pertama bergelar pendidik. Kemahiran ini akan terus berkembang dari masa ke semasa mengikut pengalaman guru itu berkhidmat.

Personaliti guru mudah dikenali oleh masyarakat umumnya. Pengalaman saya sendiri yang sering dialami sewaktu ke kedai atau sesuatu tempat baru, walaupun pada peringkat awalnya, saya tidak memperkenalkan diri sebagai seorang guru tetapi peniaga terus memanggil saya dengan panggilan “cikgu”.

Ketika disoal kepada peniaga tersebut, terus peniaga itu mengatakan perwatakan saya mencerminkan personaliti seorang guru. Katanya dari cara pertuturan, cara pemakaian, cara berjalan dan sebagainya. Walaupun pada peringkat awalnya, saya tidak mengiakan tetapi peniaga tersebut berkeyakinan memanggil dengan panggilan “cikgu” kerana katanya pada pengamatannya personaliti guru memang mudah dikenali dalam pengalamannya berurusniaga dengan guru.

Personaliti guru ini tidak dididik secara formal sewaktu kita belajar di Maktab Perguruan atau di Universiti tetapi pada hakikat sebenarnya profession sebagai pendidik membentuk personaliti guru sebenarnya. Situasi ini bukan saya sahaja yang pernah mengalaminya, malah rakan-rakan sekerja dan saya yakin sudah pasti Dr. Rajendran sendiri pernah mengalaminya.

Kesemua sifat personal pengurus yang berkesan bagi seseorang guru ini amat penting dimiliki oleh guru-guru untuk melayakkan mereka menjadi pendidik yang berwibawa dan dapat mencorakkan prestasi kerjaya yang cemerlang. Sifat-sifat ini akan dapat mencorakkan kualiti personal yang berkesan untuk menangani pelbagai masalah, perubahan dan cabaran dalam dunia pendidikan dan dalam dunia profesion perguruan yang mengalami perkembangan yang terbuka dan dinamik.

Cadangan saya ialah seseorang yang bergelar pendidik perlu menjaga personaliti ini untuk menjadikan profesion perguruan terus dihormati oleh masyarakat umum. Personaliti guru sentiasa mendapat perhatian dari anak didik dan secara tidak langsung masyarakat membuat penilaian terhadap guru. Kepercayaan masyarakat terhadap profesion pendidikan banyak dinilai dari sikap dan tingkah laku seseorang guru, secara tidak langsung rasa hormat dan elemen persefahaman serta rasa mempercayai adalah mustahak bagi menjayakan hubungan berkesan di antara guru, pelajar dan ibubapa. Ini penting ini bagi memastikan proses pengajaran dan pembelajaran berjalan dengan lancar dan baik dan secara tidak langsung membantu pelajar minat terhadap apa yang disampaikan oleh guru kepada pelajar.

No comments:

Post a Comment